Menurut Kamus Oxford, superfood atau makanan super
(luarbiasa) adalah kumpulan makanan yang kaya dengan nilai pemakanan dan
dianggap sangat berfaedah untuk kesihatan dan kesejahteraan. Namun, sebenarnya
tiada istilah atau kriteria superfood yang ditetapkan oleh manamana pihak
berwajib. Pusat Penyelidikan Kanser UK menyatakan istilah superfood ialah helah
pemasaran dengan asas saintifik yang tidak kuat. Jadi, apakah sebenarnya trend
superfood ini?
Superfood diperkenalkan oleh ahli pemasaran dan menjadi trend
di Internet, dengan pelbagai senarai yang dikeluarkan setiap tahun seperti biji
chia, kombucha, quinoa, beri goji, sayur kale, teh hijau, koko, ikan salmon dan
banyak lagi. Produk makanan yang diperkaya dengan kandungan tertentu seperti
omega-3, antioksidan, atau vitamin juga diwar-warkan sebagai superfood. Teh
hijau sering diiklan membantu penurunan berat badan dan dapat mencegah kanser,
sementara DHA (sejenis omega-3) didakwa berfaedah untuk perkembangan otak
kanak-kanak.
Melihat pada populariti superfood, artikel ini mengkaji
kebenaran di sebalik dakwaan ini dan cara memupuk tabiat pemakanan yang sihat
tanpa hanya tertumpu kepada superfood.
Adakah superfood benar-benar ‘super’?
Sebahagian superfood sememangnya mempunyai nilai pemakanan
yang berkhasiat untuk kesihatan. Omega-3 adalah sejenis asid lemak perlu yang
penting untuk metabolisme. Teh hijau pula kaya dengan katekin, sejenis
antioksidan yang mampu menghapuskan radikal bebas berbahaya untuk kesihatan.
Superfood biasanya diperkenalkan bersama bukti kajian yang menunjukkan
kandungan tinggi bahan berkhasiat dalam makanan tersebut, atau bagaimana bahan
ini boleh mencegah malah menyembuhkan penyakit-penyakit yang berbeza. Namun
biasanya kajian tersebut tidak disimpulkan dengan baik, dengan hasil penemuan
yang tidak tetap, dan tidak mungkin satu jenis makanan boleh mempunyai kesan ke
atas sebarang penyakit dengan sendirinya.
Tidak dinafikan, kajian saintifik ini berasas, tetapi
biasanya ia tidak mencerminkan pemakanan kita yang sebenar. Kajian menunjukkan
katekin boleh menyekat pertumbuhan sel kanser, namun ujian makmal selalunya
menggunakan ekstrak tulen bahan itu. Tambahan pula, kajian awal ke atas model
haiwan tidak menggambarkan secara tepat kesan terhadap metabolisme tubuh
manusia kerana adanya faktor lain yang perlu dipertimbangkan. Sesetengah kajian
ke atas subjek manusia yang menggunakan satu atau beberapa bahan daripada
tumbuhan atau haiwan, menggunakan rekabentuk kajian yang lemah dengan jumlah
subjek yang sedikit, tempoh kajian yang singkat, kurangnya maklumat
keselamatan, serta adanya kesan jangka pendek yang memerlukan keputusan
berhati-hati bagi penggunaan.
Superfood masih boleh menjadi sebahagian daripada pemakanan
keluarga anda. Namun, mengambil sejenis makanan secara berlebihan tidak akan
membekalkan semua nutrien yang diperlukan. Kompaun bioaktif koko dalam coklat
gelap sememangnya mempunyai faedah kesihatan, tetapi jika dimakan secara
berlebihan, kandungan gula dan lemak yang tinggi boleh membawa kepada masalah
kesihatan lain. Penggemar superfood yang mengamalkan tabiat pemakanan dan gaya
hidup tidak sihat juga tidak akan mengalami perubahan seperti yang diharap.
Daripada mengikut trend semasa, memupuk tabiat pemakanan yang baik adalah kunci
utama untuk kesihatan.
Tumpu pada pemakanan sihat
Daripada bergantung kepada pengambilan
superfood, amalkan pemakanan sihat yang seimbang, sederhana, dan pelbagai
(BMV) untuk keluarga anda. Capai diet seimbang dengan memakan lebih banyak
sayur, buah dan bijirin penuh, serta kurangkan garam, gula, lemak dan minyak
seperti yang disarankan. Amalkan kesederhanaan, dengan tidak memakan sesuatu
terlalu banyak atau terlalu sedikit. Kepelbagaian makanan dalam diet penting
untuk memberikan nutrien berbeza yang diperlukan.
|